1 2 3 4 5

Garis Panduan Bacaan Doa di Majlis Rasmi PDRM





GARIS PANDUAN BACAAN DOA POLIS DIRAJA MALAYSIA


1. TUJUAN

Garis panduan ini disediakan sebagai panduan kepada pihak-pihak yang
terlibat menganjurkan sesuatu Majlis Rasmi dan Tidak Rasmi yang melibatkan
bacaan doa di semua peringkat Polis Diraja Malaysia.


2. PENDAHULUAN

Doa adalah satu ibadah. Ia merupakan satu tanda kerendahan hati hamba
terhadap Allah S.W.T. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Sesuatu
doa itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, tertib penuh tawadu' dan mesti
dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna doa
tidak boleh dilakukan sebagai satu budaya atau adat.

Doa merupakan satu cara hidup yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Ianya
hendaklah dilakukan di tempat yang betul, masa yang sesuai dan suasana yang
baik. Garis panduan ini mengandungi bacaan doa secara berkumpulan atau
beramai-ramai yang dilakukan dalam Majlis Rasmi atau Tidak Rasmi di peringkat
PDRM.


3. RASIONAL

Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3) memperuntukkan bahawa agama
Islam adalah Agama Bagi Persekutuan. Oleh itu, amalan membaca doa dalam
Majlis-majlis Rasmi dan Tidak Rasmi di peringkat PDRM ini adalah suatu amalan
yang suci dan murni sesuai dengan kedudukan agama Islam di negara ini.


4. TAKRIF

4.1. MAJLIS RASMI

Majlis Rasmi yang diadakan mengikut tatacara khusus dan
menggunakan peruntukkan kewangan dari Kementerian/Jabatan. Para
hadirin terdiri dari Pembesar Negara/Ketua Jabatan. Lazimnya
berpakaian seragam tugas, dark lounge suit, black tie dan
seumpamanya. Contoh majlis : Paluan Berundur, Serah/Terima Tugas,
Perhimpunan Bulanan, Rumah Terbuka PDRM, Upacara
Pelancaran/Perasmian/Penutupan, Perasmian Pertandingan Sukan.


4.2. MAJLIS RASMI BERISTIADAT

Majlis Rasmi yang diadakan mengikut tatacara khusus dan
menggunakan peruntukkan kewangan dari Kementerian/Jabatan. Para
hadirin terdiri dari Pembesar Negara/Ketua Jabatan yang di dalamnya
terdapat Kawalan Kehormat, Tembakan Meriam, Perarakan Panji-Panji
dan seumpamanya. Lazimnya berpakaian Istiadat, Mess Dress atau
Review Order. Contoh majlis : Perbarisan Sambutan Hari Polis,
Penganugerahan Pingat Polis, Malam Mes, Perasmian IPK, IPD,
Kompleks PDRM.


4.3. MAJLIS TIDAK RASMI

Majlis sederhana dari aspek persiapan, jemputan dan protokol.
Lazimnya berpakaian seragam tugas, batik atau kasual. Contoh majlis :
Majlis Persaraan, Hari Keluarga, Sambutan Hari Raya Peringkat
Jabatan/Kontinjen, Majlis-Majlis anjuran PERKEP.

Walaubagaimana pun, penganjuran setiap majlis dalam PDRM sama
ada di peringkat jabatan, kontinjen/formasi yang menggunakan
peruntukkan dari jabatan bolehlah ditafsirkan sebagai Majlis Rasmi. Ini
adalah kerana PDRM merupakan sebuah organisasi beruniform yang
mendukung serta mematuhi segala tatacara, peraturan dan protokol
dalam penganjuran sesuatu majlis.


4.4. DOA

Doa ialah satu ucapan permohonan iaitu memohon dari hamba
(manusia) kepada Allah S.W.T dengan hati yang ikhlas bagi mendapat
rahmat, inayah (pertolongan) dan juga bagi dijauhkan dari bala
bencana dengan cara dan adab yang tertentu.


5. TARAF PEMBACA DOA

Pembaca doa bagi majlis anjuran PDRM hendaklah mereka yang bertugas di
Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) atau pegawai, anggota dan kakitangan
awam PDRM yang dilantik daripada kalangan mereka yang layak, seperti mana
dalam para 6 di bawah.


6. KRITERIA PEMBACA DOA

6.1. Pembaca doa seelok-eloknya seorang lelaki dan semestinya beragama
Islam, boleh menyebut perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu,
Arab dengan tepat, fasih, betul dan lancar.


6.2. Pembaca doa hendaklah individu yang mempunyai akhlak dan sahsiah
yang baik serta tidak dipertikai oleh pendengar dan masyarakat.


6.3. Pembaca doa mestilah mengetahui kesesuaian doa yang dibaca bagi
satu-satu majlis yang diadakan.

7. TATACARA DAN ADAB-ADAB BACAAN DOA

7.1. Pembaca doa dikehendaki datang ke majlis 30 minit lebih awal sebelum
majlis dimulakan.

7.2. Memastikan semakan dibuat terlebih dahulu pada nama majlis dan
nama perasmi atau nama orang yang diraikan di teks doa.

7.3. Memastikan telefon bimbit sudah dimatikan atau diletakkan dalam
keadaan senyap supaya tiada gangguan semasa bacaan doa.

7.4. Pembaca doa hendaklah memastikan tempat bacaan doa dan tempat
duduk pembaca doa.

7.5. Sebelum memulakan doa, pembaca doa hendaklah memberi tanda
hormat kepada tetamu khas dan lain-lain tetamu yang hadir.

7.6. Pembaca doa hendaklah mengangkat tangan ketika berdoa.

7.7. Pembaca doa hendaklah membaca dengan nada suara yang sesuai
dengan maksud ayat di samping suara yang jelas, tidak terlalu laju dan
hendaklah dibaca dengan khusyuk serta tawaduk.

7.8. Tidak digalakkan pembaca doa membalikkan tangan tatkala memohon
tolak bala.

7.9. Bagi majlis yang hanya dihadiri oleh golongan wanita,
pembaca doa bolehlah dilantik dari kalangan wanita.

7.10. Jika majlis yang melibatkan pasukan pancaragam, tatacaranya seperti
mana dalam para 8 di bawah.


8. TATACARA MAJLIS YANG MELIBATKAN PASUKAN PANCARAGAM

8.1. Pembaca doa hendaklah memberi tanda hormat kemudian
mengucapkan salam, contohnya majlis yang dihadiri oleh Ketua Polis
Negara " Assalamua'laikum Tan Sri "

8.2. Seterusnya bersedia sehingga bunyi "Drum Roll" dimainkan, apabila
bunyi "Drum Roll" yang dimainkan berhenti, pembaca doa bolehlah
mengangkat tangan dan memulakan bacaan basmalah,
(), kemudian tunggu skuad dalam barisan menyebut
"Aamiin", pembaca doa bolehlah meneruskan bacaan doa seterusnya.

8.3. Apabila selesai bacaan akhir doa (), tunggu sehingga
bunyi "Drum Roll" dimainkan apabila bunyi "Drum Roll" yang dimainkan
berhenti, bolehlah diturunkan tangan kemudian memberi tanda hormat
dan beredar keluar.

9. PAKAIAN

Pembaca doa hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian dengan majlis
dan jika memakai pakaian kebangsaan hendaklah lengkap bersampin dan
bersongkok serta warna pakaian yang bersesuaian.

10. TEKS DOA

10.1. Muqaddimah Doa Dan Penutup

i. Permulaan doa hendaklah mengandungi lafaz basmalah, Disusuli dengan puji-pujian kepada Allah S.W.T.
dan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

ii. Doa seelok-eloknya didahului dengan bacaan dalam Bahasa Arab
dan diikuti dengan doa dalam Bahasa Melayu atau bahasa-
bahasa lain.

iii. Pada bahagian akhir doa mestilah mengandungi bacaan selawat
dan tahmid dalam Bahasa Arab.

10.2. Isi Kandungan Doa

i. Teks doa hendaklah mengandungi permohonan untuk
keselamatan, kesejahteraan umum dan diikuti dengan
permohonan doa secara khusus sesuai dengan majlis berkenaan.

ii. Isi kandungan doa juga boleh diterjemah dalam Bahasa Inggeris,
Arab dan bahasa-bahasa lain, sesuai dengan hadirin dan majlis
tersebut.

iii. Teks doa setiap perenggan sebaik-baiknya disebut nama-nama
Allah () dan sifat-sifat Allah sesuai dengan perkara
yang dipohon seperti ! (Yang Maha Pemberi Rezeki) bagi doa
untuk memohon rezeki.

iv. Sekiranya majlis yang dianjurkan dihadiri oleh Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan
Agong/Sultan/Raja/Tuan Yang Terutama (TYT) sama ada sebagai
perasmi majlis atau jemputan khas, pembaca doa hendaklah
menyebut secara khusus doa kesejahteraan yang ditujukan
kepada Baginda sendiri sebagai satu penghormatan kepada
pemimpin agama Islam paling tinggi dalam negara/negeri.

v. Teks doa juga sewajarnya menyebut doa kesejahteraan secara
umum kepada pemimpin-pemimpin negara/negeri serta ummah
keseluruhannya.

vi. Teks doa dilarang dan ditegah menyebut perkataan-perkataan
yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan
masyarakat dan negara.

10.3. Masa Pembacaan Doa

i. Masa berdoa bagi majlis rasmi atau tidak rasmi sebaik-baiknya
dibaca pada permulaan majlis tersebut.

ii. Tempoh masa untuk membaca doa tidak melebihi 5 minit.

10.4. Tempat Majlis Berdoa

i. Hendaklah di tempat perhimpunan yang bertujuan untuk kebaikan
dan bersesuaian dengan ajaran Islam serta tidak terdapat unsur
dan perkara yang bercanggah dengan Islam.

ii. Tempat yang tidak mencemarkan kesucian agama Islam.

iii. Majlis berkenaan tidak mengandungi unsur-unsur maksiat,
khurafat atau bertentangan dengan syariat Islam, seperti mana
dalam para 11 di bawah.

10.5. Tempat Pembaca Doa

i. Tempat bacaan doa hendaklah di atas pentas utama (jika ada
pentas) bagi memuliakan doa yang dibaca.


ii. Penganjur hendaklah menyediakan tempat duduk yang sesuai
untuk pembaca doa.


11. MAJLIS YANG DITEGAH UNTUK BACAAN DOA

Majlis yang mengandungi acara atau aktiviti yang berunsur maksiat, khurafat
atau bertentangan dengan syariat Islam dan melalaikan adalah dilarang sama sekali
untuk diadakan bacaan doa, antaranya adalah seperti berikut :

11.1. Majlis yang mengandungi perayaan agama lain atau acara
kebudayaan seperti tari menari, nyanyian (karaoke), berlakunya
pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.

Keterangan

Majlis-majlis seumpama itu bukan daripada budaya Islam. Sebarang
bentuk budaya bukan Islam yang tidak selari dengan Islam, maka
menyerupainya adalah dilarang.

Sebagaimana riwayat daripada Ibnu 'Umar R.A. telah bersabda Nabi
Muhammad S.A.W. yang bermaksud :

"Barangsiapa menyerupai satu-satu kaum (agama lain), maka dia
tergolong daripada mereka".
Hadith Riwayat Abu Daud

Menurut Islam, setiap sesuatu yang dilakukan hendaklah ia tidak
bercampur aduk antara yang benar dengan yang salah. Lebih-lebih lagi
apabila ia berupa suatu ibadah.

Perintah larangan tidak mencampur adukkan yang benar dan yang
salah itu telah disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firman-Nya,
bermaksud :

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar dengan yang
salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula pada hal kamu
semua mengetahuinya ".

Q.S Al-Baqarah : Ayat 42

Maka menyusun rancangan, mengadakan, menyediakan, kemudahan
bagi tujuan seperti tari menari, berkaraoke dan seumpamanya itu
adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara' dan
bercanggah dengan sunnah Baginda S.A.W. yang perlu diperbetulkan.


Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan melakukan
perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama
lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan
mereka. Pada hal umat Islam sangat dilarang daripada meniru dan
mengikut-ikut itu pada perkara-perkara yang tidak selari dengan agama
Islam.

11.2.Majlis meraikan pegawai, anggota dan kakitangan awam yang
bukan beragama Islam.

Keterangan

Jawatankuasa fatwa berpendapat haram ke atas seseorang muslim
yang dengan sengaja berdoa dengan kebaikan seperti berdoa untuk
diberi keampunan atau diberi rahmat atau dipanjang umur kepada
orang bukan beragama Islam kecuali untuk diberi taufiq dan hidayah
kepada memeluk agama Islam.

Seseorang yang telah terlanjur berdoa dengan kebaikan untuk orang-
orang bukan Islam (kafir) tidaklah menjadi murtad """ dan harus
serta sah menjadi imam bagi solat jemaah dan solat jumaat.


11.3. Upacara yang melibatkan penyembahan atau memberi
penghormatan kepada tugu atau patung-patung orang tertentu.

Keterangan

Berdoa di tugu peringatan adalah ditegah oleh syara' dan hukumnya
haram kerana perbuatan seumpama itu termasuk di dalam larangan
firman Allah S.W.T., yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan
al-ansab (menyembah berhala) dan al azlam (bertenung nasib)
adalah najis daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu
jauhkan daripadanya moga-moga kamu Berjaya".

Surah al Maidah ayat 90

'Al-Ansab' maknanya batu orang-orang jahiliyah sembelih korban
disisinya dan beribadat kepadanya. Berdoa adalah ibadat, berdoa di
batu tugu peringatan sama seperti orang-orang jahiliyah beribadat di al-
Ansab yang dimaksudkan di dalam ayat 90 itu.

11.4. Majlis-majlis perasmian bagi program-program yang dinyatakan di
atas dan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

12. CONTOH-CONTOH DOA SEPERTI DI LAMPIRAN `A'

13. PENUTUP

Garis Panduan Bacaan Doa Majlis Rasmi & Tidak Rasmi Polis Diraja Malaysia
ini diharap dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada semua warga Polis Diraja
Malaysia.

14. BERKUATKUASA

Arahan ini hendaklah dipatuhi dan berkuatkuasa bermula dari tarikh arahan ini
dikeluarkan.


DOA MAJLIS PERINGATAN HARI POLIS

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu di atas segala
limpahan nikmat dan rahmat serta diberikan keizinan dihari yang penuh
bersejarah dan bermakna ini dapatlah kami berhimpun bagi
menyempurnakan Majlis Peringatan Hari Polis kali ke-(...) penubuhan
pasukan Polis Diraja Malaysia sebagai sebuah organisasi penguatkuasa
terulung di negara ini yang telah diamanahkan menjaga keamanan dan
kesejahteraan pertiwi.

Kami memohon kepada-Mu Ya Allah, jadikanlah pasukan kami pasukan
yang mantap dan berwibawa dibarisi pegawai dan anggota serta
sekalian warga yang berakhlak mulia, beriman dan bertaqwa, tidak
hanya mementingkan diri dan keluarga tetapi mengutamakan
kepentingan pasukan demi agama, pertiwi dan negara. Semoga dengan
izin-Mu jua terbentuklah sebuah pasukan yang mampu mengekalkan
keamanan dan keharmonian negara serta tercapailah visi dan misi
pasukan Polis Diraja Malaysia.

Ya Allah, kami memohon kehadrat-Mu tingkatkanlah kekuatan dan
keimanan kepada seluruh ahli pasukan kami agar kami mampu
menangani segala cabaran dan rintangan yang dihadapi dengan
kebijaksanaan dan keupayaan dalam menyelesaikan segala
permasalahan yang dihadapi.

Tanamkanlah keimanan dan kesedaran dalam setiap hati masyarakat
kami hubungan persaudaraan yang erat serta kasih mengasihi.
Semaikanlah semangat tolong-menolong dan hindarilah ahli pasukan
kami dari terlibat dalam sebarang perkara yang menyalahi sama ada
perlakuan jenayah, dadah, gejala sosial dan sebagainya.

Kami juga sedar dan insaf betapa sukar dan peritnya kesengsaraan yang
telah dilalui sepanjang tempoh perjuangan ahli pasukan kami khususnya
warga pejuang kami yang terdahulu ramai yang terkorban menabur bakti
dalam menjaga keselamatan negara dan pertiwi.Justeru itu kami
bermohon kepada-Mu ampunkanlah segala dosa mereka dan
tempatkanlah roh-roh mereka bersama para syuhada, anbiya' serta
mereka yang engkau kasihi.

Ya Allah, ampunilah segala dosa dan kesalahan kami. Dosa kedua ibu
bapa dan ahli keluarga kami, serta dosa ahli masyarakat kami baik yang
hidup mahupun yang telah kembali kepada-Mu dan jadikanlah kami
sekalian sebagai hamba yang sentiasa hidup dalam maghfirah-Mu.



DOA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu diatas segala
limpahan nikmat dan rahmat serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia ini dapatlah kami menghadirkan diri bersempena Majlis
Perhimpunan Bulanan (...) pada kali ini.

Kami memohon kepada-Mu Ya Allah, jadikanlah ikrar taat setia yang
akan kami lafazkan nanti, akan dapat meningkatkan lagi mutu
perkhidmatan kami sebagai warga PDRM yang berintegriti,cekap,
berdedikasi dan berwibawa serta berwawasan tinggi dalam
menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh kejujuran,
keikhlasan, ketelusan dan kebijaksanaan bagi mendaulatkan kesucian
agama, memelihara maruah bangsa dan Negara seterusnya membawa
kemajuan dan kejayaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia yang
kami kasihi ini.

Ya Allah, hiasilah sanubari kami dengan sifat-sifat mahmudah yang mulia
lagi terpuji, jauhilah dari kami sifat-sifat mazmumah yang hina lagi dikeji,
tanamkanlah ke dalam diri kami sifat rajin bekerja dalam suasana
semangat bekerjasama dan persaudaraan yang sejati, kearah mencapai
kecemerlangan dan keredhaanmu Ya Ilahi. Terimalah segala hasil usaha
dan khidmat bakti kami ini sebagai satu ibadah seperti mana yang
engkau kehendaki.

Ya Allah, kami juga memohon jadikanlah diri, keluarga, dan negara kami
ini sentiasa di dalam keadaan aman dan damai, makmur dan bahagia,
sentiasa dianugerahi kebaikan dan kebajikan, pemeliharaan dan
penjagaan, perlindungan dan pengawasan, doa yang dimakbulkan dan
dosa yang diampunkan serta dijauhkan daripada segala kekacauan dan
huru hara, musibah dan penyakit. Semoga kami dapat hidup tenteram
dan bahagia di dunia dan akhirat.



DOA MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu, diatas segala
limpahan nikmat dan rahmat, serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia lagi bersejarah ini, dapatlah kami berhimpun Di Majlis Serah
Terima Tugas, Jawatan (...), di antara (...) dengan (...), semoga dengan
majlis serah terima tugas ini, akan terus memantapkan lagi pengurusan
jabatan kami, demi menjayakan cita-cita, misi dan juga visi pasukan
Polis Diraja Malaysia.

Di hari yang mulia ini, kami memohon doa restu dari-Mu agar khidmat
bakti kami yang telah lalu dan akan datang dijadikan perkhidmatan yang
diredhai. Pertuturan kami, pertuturan yang disenangi, pendengaran
kami, pendengaran yang direstui, penglihatan kami, penglihatan yang
diberkati, amalan kami amalan yang dirahmati, pengorbanan kami
pengorbanan yang disyukuri dan jasa kami jasa yang diingati.

Kami memohon kepada-Mu agar khidmat bakti kami ini sentiasa diberi
petunjuk dan hidayah dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Kekalkanlah kesejahteraan negara kami ini untuk generasi hari ini dan
akan datang. Kurniakanlah kepada kami keimanan dan ketaqwaan,
kekuatan, semangat waja, keberanian dan kesabaran yang unggul
dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh
kejujuran, keikhlasan dan ketelusan bagi mendaulatkan kesucian
agama, memelihara maruah bangsa dan Negara seterusnya membawa
kemajuan dan kejayaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia.

Ya Allah, setiap pertemuan akan ada detik perpisahannya, maka
jadikanlah pertemuan kami ini sebagai pertemuan yang dipenuhi dengan
keberkatan dan kasih sayang, jadikanlah perpisahan kami selepas ini
sebagai perpisahan yang penuh dengan kesejahteraan dan keampunan-
Mu.



DOA MAJLIS MERAIKAN PEMERGIAN PETUGAS PDRM
KE LUAR NEGARA

Ya Allah, Engkaulah teman di dalam perjalanan kami, Engkaulah
penjaga keselamatan keluarga, anak-anak serta harta benda yang
ditinggalkan. Peliharalah kami dari segala mara bahaya, penyakit dan
perasaan duka.

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu, di atas
segala limpahan nikmat dan rahmat, serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia ini, dapatlah kami berhimpun Di Majlis Meraikan Pemergian
Petugas PDRM Ke Luar Negara pada kali ini.

Dengan penuh keberkatan dan keizinan-Mu Ya Allah, berkatilah
perjalanan mereka sekalian. Limpahkanlah rahmat kesejahteraan ke
atas mereka di sepanjang perjalanan hinggalah sampai ke destinasi
yang dituju. Berikanlah keselamatan dan kesihatan ke atas mereka
serta di jauhkan dari segala kesulitan mahu pun kesusahan walau di
mana mereka berada. Bekalkanlah mereka dengan rahmat
kebijaksanaan semoga mereka dapat melaksanakan tugas dengan
penuh cemerlang untuk agama, bangsa dan negara tercinta ini.



DOA MAJLIS PENUTUP KURSUS

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu diatas segala
limpahan nikmat dan rahmat serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia ini dapatlah kami berhimpun bersempena Majlis Penutup
Kursus (...) pada kali ini.

Ya Allah, kami memohon kepada-Mu, jadikanlah segala latihan dan ilmu
pengetahuan yang kami perolehi disepanjang kursus ini dapat dijadikan
panduan dan diamalkan serta disampaikan kepada rakan­rakan
seperjuangan yang lain, mudah­mudahan ianya akan dapat
meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kami sebagai warga PDRM yang
berintegriti, cekap berdedikasi dan berwibawa serta berwawasan tinggi
dan seterusnya membawa kemajuan dan kejayaan yang kami hajati.

Ya Allah, hiasilah sanubari kami dengan sifat-sifat mahmudah yang
mulia lagi terpuji, jauhilah dari kami sifat-sifat mazmumah yang hina lagi
dikeji, tanamkanlah ke dalam diri kami semangat bekerjasama dan
persaudaraan yang sejati, kearah mencapai kecemerlangan dan
keredhaan-Mu Ya Ilahi. Terimalah segala hasil usaha dan khidmat bakti
kami ini sebagai satu ibadah seperti mana yang engkau kehendaki.



DOA MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN
CEMERLANG

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu diatas segala
limpahan nikmat dan rahmat serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia ini, dapatlah kami berhimpun bersempena Majlis
Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (...) pada kali ini.

Ya Allah, berkatilah khidmat bakti kami ini, satukan dan perteguhkanlah
hati kami di bawah keredhaan-Mu. Lahirkanlah perasaan persaudaraan,
berkasih sayang, bermuafakat dan saling hormat menghormati antara
kami. Tanamkanlah ke dalam jiwa kami sifat sabar dan tekun dalam
melaksanakan tugas dan sentiasa amanah di dalam segala tugas yang
telah dipertanggungjawabkan kepada kami.

Kami memohon dengan kemurahan-Mu Ya Allah, kurniakanlah hidayah
dan `inayah kepada kami, kepada raja-raja dan pemimpin-pemimpin
kami, semua ketua-ketua dan pucuk pimpinan tertinggi PDRM dalam
melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Ya Allah, bukakanlah pintu hati kami untuk menjadi manusia yang
sempurna, taat kepada perintahmu, taat kepada arahan ketua, sentiasa
sanggup menghadapi rintangan dan cabaran demi menjana dan
memartabatkan agama, bangsa dan negara Malaysia yang kami cintai
ini.


DOA MAJLIS PELANCARAN OPS. SIKAP

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu diatas segala
limpahan nikmat dan rahmat serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia ini, dapatlah kami berhimpun bersempena Majlis
Pelancaran Ops Sikap Kali Ke (...) yang akan disempurnakan oleh (...)
sebagai suatu majlis yang mendapat taufiq dan hidayah-Mu, keberkatan
dan kerahmatan, pertolongan dan bantuan serta berjalan dengan lancar,
teratur, berjaya lagi sempurna.

Tanamkanlah dihati sanubari masyarakat kami rasa keinsafan dan
kesedaran yang tinggi dalam mematuhi peraturan jalan raya agar
kepulangan mereka selamat sampai ke destinasi dengan selamat
bertemu saudara mara dan juga taulan. Jauhkanlah kami dari segala
mara bahaya, bencana dan kemalangan.

Ya Allah, berkatilah kami dalam segala urusan jadikanlah usaha murni
kami ini mendapat kesejahteraan dan tabahkanlah hati warga Polis
Diraja Malaysia yang bertugas disepanjang musim perayaan
merangkumi semua bidang tugas kepolisan demi menjaga negara agar
masyarakat dapat berhari raya bersama keluarga dengan aman dan
damai.



DOA MAJLIS PERPISAHAN

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu diatas segala
limpahan nikmat dan rahmat serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia ini dapatlah kami berhimpun bersempena Majlis
Perpisahan, Jasamu Dikenang kepada (...) pada kali ini.

Ya Allah, kurniakanlah kepada mereka yang kami raikan ini,agar
dilimpahkan rahmat-Mu, diberikan kesihatan dan kebahagian,
keselamatan dan kesejahteraan yang berterusan. Jadikanlah segala
amal bakti yang dicurahkan dalam perkhidmatan selama ini sebagai satu
ibadah yang mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada-Mu.

Bagi kami yang masih yang masih berkhidmat ini, kurniakanlah kami
taufiq dan hidayat, kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan dan
eratkan tali persaudaraan kami, kukuhkanlah perpaduan kami,
kekalkanlah sifat mahu bekerjasama dan bantu membantu antara kami,
peliharalah akhlak kami, halalkan rezeki kami dan terimalah khidmat
bakti kami ini sebagai satu ibadah yang mendapat kemajuan dan
kejayaan dari masa ke semasa.



DOA MAJLIS PEMAKAIAN PANGKAT

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu diatas segala
limpahan nikmat dan rahmat serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia lagi bersejarah ini dapatlah kami berhimpun Di Majlis
Pemakaian Pangkat (...), yang akan disempurnakan oleh (...) pada kali
ini.

Kami memohon dengan limpah perkenan-Mu agar dikurniakan buat
pimpinan kami ini, keimanan dan ketaqwaan, kesihatan dan
keselamatan, hikmah dan kebijaksanaan dalam melaksanakan
tanggungjawab dan amanah bagi mendaulatkan kesucian agama,
memelihara maruah bangsa dan Negara sebagai pemangkin kemajuan
dan kejayaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia yang kami kasihi ini.

Ya Allah, kami juga memohon jadikanlah diri, keluarga, dan negara kami
ini sentiasa di dalam keadaan aman dan damai, sentiasa dianugerahi
kebaikan dan kebajikan, doa yang dimakbulkan dan dosa yang
diampunkan serta dijauhkan daripada segala kekacauan dan huru hara,
musibah dan penyakit, semoga kami dapat hidup tenteram dan bahagia
di dunia dan akhirat.



DOA SEMPENA MAJLIS LAWATAN KERJA

Kami menadah tangan merafa'kan kesyukuran kepada-Mu diatas segala
limpahan nikmat dan rahmat serta diberikan keizinan dihari yang
berbahagia ini dapatlah kami berhimpun bersempena Majlis Lawatan
Kerja (...) pada kali ini sebagai suatu majlis yang mendapat taufiq dan
hidayahMu, keberkatan dan kerahmatan, pertolongan dan bantuan serta
berjalan dengan lancar, teratur, berjaya lagi sempurna.

Ya Allah, kami berdoa memohon ke hadrat-Mu, satukan dan
perteguhkanlah hati kami di bawah keredhaan-Mu, lahirkanlah perasaan
persaudaraan, berkasih sayang, bermuafakat, tanamkanlah ke dalam
jiwa kami sifat sabar, tekun dalam melaksanakan tugas yang
diamanahkan serta dipermudahkan segala urusan kami.

Ya Allah, hiasilah sanubari kami dengan sifat-sifat mahmudah yang
mulia lagi terpuji, jauhilah dari kami sifat-sifat mazmumah yang hina lagi
dikeji, kukuhkanlah perpaduan antara kami, kekalkanlah sifat bantu-
membantu dan tolong- menolong antara kami, terimalah segala usaha
dan khidmat bakti kami ini sebagai satu ibadah.



DOA MAJLIS HARI KELUARGA PDRM

Dengan limpahan rahmat dan kebesaran-Mu Ya Allah, kami bersyukur
dengan apa yang kami hajati, kerana dengan keizinan-Mu dapatlah kami
mengadakan Perhimpunan Mahabbah bersempena Hari Keluarga Polis
Diraja Malaysia pada kali ini.

Kami memohon kepada-Mu, jadikanlah perhimpunan Hari Keluarga
PDRM ini sebagai satu perhimpunan yang diberkati dan mendapat
rahmat daripada-Mu, juga satu perhimpunan yang dapat menyatukan
ukhuwah kami, mudah-mudahan dengan ikatan silaturrahim dan
persahabatan yang terbina akan dapat meningkatkan lagi mutu
perkhidmatan kami sebagai warga PDRM yang berintegriti, berdedikasi
dan berwibawa serta berwawasan tinggi dan seterusnya membawa
kemajuan dan kejayaan kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia yang
kami kasihi ini.

Ya Allah, hiasilah sanubari kami dengan sifat-sifat mahmudah yang mulia
lagi terpuji, jauhilah dari kami sifat-sifat mazmumah yang hina lagi dikeji,
tanamkanlah ke dalam diri kami sifat rajin bekerja dalam suasana
semangat bekerjasama dan persaudaraan yang sejati, kearah mencapai
kecemerlangan dan keredhaan-Mu.

Ya Allah, kukuhkanlah perpaduan antara kami, kekalkanlah sifat mahu
bekerjasama dan tolong menolong antara kami, terimalah segala usaha
dan khidmat kami ini, sebagai satu ibadah.



DOA MAJLIS MESYUARAT AGUNG

Kami merafa'kan kesyukuran kehadrat-Mu diatas segala limpahan
rahmat dan nikmat serta diberikan keizinan dihari yang berbahagia ini
dapatlah kami menghadirkan diri bersempena Majlis Mesyuarat Agung
(...) pada kali ini.

Ya Allah, janganlah pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya
memikulnya. Ampunilah dosa-dosa kami dan hindarkanlah kami dari
melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar. Tetapkanlah hati
kami dengan iman dan Islam serta limpahkanlah kekuatan dan
keberkatan untuk kami memikul amanah dan tanggungjawab yang
diberikan kepada kami dengan penuh keredhaan dan kesabaran.

Ya Allah, Jadikanlah Mesyuarat Agung pada kali ini berjalan dengan baik
dan lancar, serta dapat mengeluarkan pandangan dan buah fikiran yang
bernas lagi tuntas demi kebaikan bersama dan hasilnya mampu
menjadikannya sebuah persatuan yang mantap dan unggul dalam
memainkan peranan yang proaktif, kreatif dan efektif demi memajukan
organisasi, masyarakat, agama dan negara serta mendapat kejayaan di
dalam segala perancangan dan diterima hasil perancangan ini sebagai
amal soleh yang engkau terima dan redhai.



DOA SEBELUM MENJALANKAN TUGAS 1

Di hari yang mulia ini, kami melahirkan kesyukuran kepada-Mu kerana
diberi peluang untuk kami memartabatkan perkhidmatan pasukan Polis
Diraja Malaysia di negara ini.

Kami memohon restu dan kasih sayang-Mu yang berkekalan dalam
menjalankan tugas dan kewajipan yang diamanahkan. Jadikanlah kami
golongan yang produktif dan berkualiti serta berjaya melaksanakan
tugas dengan sempurna dan berkesan. Hindarkanlah kami dari sifat-sifat
lemah, malas dan suka bertangguh-tangguh dalam menjalankan tugas.

Kami memohon rahmat-Mu, berikanlah hidayah kepada hati kami,
perbaikilah hal agama dan dunia kami, bersihkanlah pekerjaan kami dari
perkara-perkara yang mungkar, bimbinglah kami ke jalan yang lurus
serta benar, peliharalah kami dari segala kejahatan dan kemaksiatan
dunia.



DOA SEBELUM MENJALANKAN TUGAS 2

Kami merafa'kan kesyukuran di atas keizinan-Mu untuk kami
meneruskan perjuangan hidup pada hari ini dengan penuh kenikmatan
dan kesejahteraan.

Kurniakanlah kami kecintaan, keinginan dan kecenderungan bekerja
dengan penuh iltizam dan dedikasi untuk mencapai kecemerlangan.

Kurniakanlah kepada kami kesatuan hati dan perasaan dalam mengurus
organisasi kami ke arah perkhidmatan yang cemerlang, kurniakanlah
kami kekuatan iman, Islam dan amal sehingga kami mampu menunaikan
segala tanggungjawab dan amanah menerusi kerja berpasukan,
suburkanlah hati kami dengan berbaik sangka, berlapang dada, bantu
membantu, dan saling hormat menghormati antara kami.



DOA HARI ISNIN

Segala puji bagi Allah yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam
ke atas para nabi dan rasul dan penghulu kami junjungan besar Nabi
Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabat baginda
sekalian.

Di hari yang berbahagia ini, kami berdoa memohon ke hadrat-Mu,
satukanlah dan perteguhkanlah hati kami dibawah keredhaan-Mu.
Lahirkanlah perasaan persaudaraan, berkasih sayang dan bermuafakat
antara kami.

Kami memohon restu dan kasih sayang-Mu yang berkekalan dalam
menjalankan tugas dan kewajipan yang diamanahkan. Jadikanlah kami
golongan yang produktif dan berkualiti. Golongan yang berjaya
melaksanakan tugas dengan sempurna dan berkesan. Ya Allah,
hindarkan kami dari sifat-sifat lemah, malas dan suka bertangguh-
tangguh dalam menjalankan tugas.



DOA HARI SELASA

Segala puji bagi Allah yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam
ke atas para nabi dan rasul dan penghulu kami junjungan besar Nabi
Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabat baginda
sekalian.

Di hari yang mulia ini, kami memohon taufiq dan kesejahteraan dari-Mu.
Anugerahkanlah kami kekuatan ilmu, iman dan cetusan idea yang
bernas bagi meningkatkan mutu kerja dan kecekapan supaya ianya
dapat memenuhi ekspektasi pelanggan dan seterusnya membawa
kemajuan dan kejayaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia.

Tunjukkanlah kami ke arah kebaikan, pertingkatkan iman kami agar
amalan hidup kami sihat dari segi rohani dan jasmani serta menjadi
contoh ikutan generasi akan datang supaya bekerja dengan penuh
dedikasi, amanah dan bertanggungjawab.



DOA HARI RABU

Segala puji bagi Allah yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam
ke atas para nabi dan rasul dan penghulu kami junjungan besar Nabi
Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabat baginda
sekalian.

Anugerahkanlah kami kekuatan ilmu, iman dan kebijaksanaan untuk
menerokai kejayaan. Jadikanlah kami insan yang berpandangan jauh,
komited dengan kehendak dan perubahan zaman. Berilah kami
kesihatan agar dapat bergerak aktif menabur khidmat bakti kepada
agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini agar kedaulatan
tanah air kami teguh terpelihara.

Tanamkanlah di dalam hati kami sifat amanah, bertanggungjawab dan
keimanan yang mantap. Pertingkatkanlah iktikad dan amalan kami agar
taat mengerjakan suruhan dan taat menjauhi larangan serta redha
menerima dugaan dan ikhlas menyempurnakan amanah.



DOA HARI KHAMIS

Segala puji bagi Allah yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan
salam ke atas para nabi dan rasul dan penghulu kami junjungan besar
Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabat baginda
sekalian.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon ke hadrat-Mu, berikanlah kami
kekuatan, taufiq dan hidayah-Mu supaya kami dapat memperbaiki diri
kami. Tambahkanlah kepada kami ilmu, iman dan amal. Kuatkanlah
tekad dan semangat kami untuk berkhidmat dengan pasukan Polis
Diraja Malaysia ini dengan lebih cekap dan cemerlang.

Kami memohon kepada-Mu Ya Allah, berikanlah kami ilmu yang
memberi manfaat, rezeki yang halal, anak yang soleh, rumahtangga
yang bahagia, usia yang diberkati, hajat yang tertunai, kesihatan yang
berterusan, hutang yang terbayar, dosa yang diampunkan, keselamatan
dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.



DOA HARI JUMAAT

Segala puji bagi Allah yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan
salam ke atas para nabi dan rasul dan penghulu kami junjungan besar
Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabat baginda
sekalian.

Di hari yang mulia ini, kami berdoa memohon ke hadrat-Mu, satukanlah
dan perteguhkanlah hati kami dibawah keredhaan-Mu. Lahirkanlah
perasaan persaudaraan, berkasih sayang dan bermuafakat.
Tanamkanlah ke dalam jiwa kami sifat sabar, tekun dalam
melaksanakan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan
serta dipermudahkan segala urusan kami.

Ya Allah, jadikanlah perkhidmatan Polis Diraja Malaysia sebagai
perkhidmatan yang berkualiti lagi cemerlang, agar dengannya dapat
menjadikan negara kami maju dalam segala bidang dan disegani,
bertaraf dunia serta mendapat keredhaan-Mu Ya Allah.



DOA HARI SABTU

Di hari yang mulia ini, kami berdoa memohon keredhaan-Mu untuk
melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Terapkanlah amalan kerja yang baik agar dapat kami jadikan ia sebagai
ibadah yang berterusan dan jauhkanlah kami dari sifat tercela,
bukakanlah pintu hati kami bagi menerima segala kefahaman,
curahkanlah hidayah-mu agar dapat kami jadikannya sebaik-baik
penghayatan;

Jadikanlah Al-Quran itu penyuluh hati kami, tunjukkanlah jalan yang
benar agar kami ikuti, jelaskanlah perkara yang batil agar kami jauhi.
Corakkanlah akhlak kami dengan sifat mahmudah yang mulia lagi
terpuji, lindungilah kami dari sifat mazmumah yang hina lagi dikeji,
sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha
Penyayang.



DOA HARI AHAD

Ya Allah, pada hari yang berbahagia ini, kami memohon keberkatan
dan keredhaan dari-Mu agar segala usaha, tindakan dan amal
perbuatan kami ini diterima serta mendapat kerahmatan dari-Mu Ya
Allah.

Anugerahkanlah sifat kesungguhan dan ketekunan kepada diri kami,
agar sentiasa dapat melaksanakan kerja dengan penuh rasa
tanggungjawab yang telah diamanahkan. Jadikanlah perkhidmatan kami
ini maju kehadapan agar segala urusan dapat diselesaikan dengan
cekap, cepat dan teratur.


SENARAI RUJUKAN

1. Al-Quran al-Karim. Pimpinan ar-Rahman.

2. Abu Daud, Abu Daud Sulaiman Ibn al-Asy'ath al-Sijistani al-Azdi, Sunan Abi
Daud, Kaherah, Dar al-Hadith.

3. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 2006. Doa Majlis Rasmi &
Separuh Rasmi Kerajaan Serta Panduan Membacanya. Putrajaya.
Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

4. Bahagian Pengurusan Fatwa (JAKIM). Putrajaya.

5. Cawangan Istiadat (PDRM). Bukit Aman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
MistisFiles
^Jangan Buka File di atas jika anda Otak Ringkas
My Intro